Empat Adun BN Kedah sertai PAS?

Muda Mohd Noor | Apr 10, 08 12:18pm | kemaskini 7:55pm | Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kedah didakwa telah mengadakan rundingan untuk menyertai PAS baru-baru ini.

Pertemuan mereka dengan seorang anggota exco negeri itu "menampakkan tanda-tanda positif". Keempat-empatnya berjumpa dengan Amiruddin Hamzah selama 80 minit di satu tempat yang dirahsiakan, lapor satu blog politik 'Dari Yan' (ceritayan.blogspot.com).

Sementara itu, ahli jawatankuasa Umno bahagian Pendang, Datuk Othman Abdul berkata, laporan bahawa ada Adun BN akan menyertai PAS tidak berasas sama sekali. Katanya kepada Malaysiakini, laporan sedemikian rupa adalah permainan PAS untuk menimbulkan suasana tidak tenang di kalangan penyokong BN khususnya Umno.

"Tiada kedengaran langsung Adun BN mahu menyertai PAS dan kerana itu saya anggap ia laporan yang tidak boleh dipercayai," katanya.

Ketua penerangan PAS dan ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar ketika dihubungi berkata, beliau tidak tahu mengenai laporan tersebut.

"Saya tidak tahu laporan tersebut betul atau tidak," katanya lagi.
"Kalau (mereka) jumpa PAS, saya tahu. Kalau jumpa Amiruddin, saya tidak tahu."

-----------------------------
Dipetik Dari Malaysiakini.com
-----------------------------
Kita Tunggu Siapa Yang Bohong!
Siapa yang benar, siapa yang LOMPAT!