Satu daripada sepuluh rakyat Malaysia mengalami salah satu bentuk masalah kesihatan mental. Fakta ini telah diberikan oleh Presiden Minda Malaysia, Dr Abdul Kadir Abu Bakar. Ini bermakna tidak mustahil bagi sesiapa pun untuk dihinggapi penyakit mental. Perubahan budaya yang begitu pantas sejak kebelakangan ini mencetuskan satu keadaan yang mana permasalahan gangguan mental terutama yang berkaitan dengan tekanan menjadi masalah kesihatan umum yang perlu diberikan perhatian.
Bagi umat Islam, kekuatan dalaman menjadi benteng pertahanan diri agar tidak terperangkap dalam kemelut perasaan sendiri. Setiap manusia dikurniakan Allah hati. Hati adalah seketul darah yang berperanan mengawal pergerakan jasad manusia. Diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir bahawa Rasulullah mengingatkan umatnya mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud "Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati."